Followers

Islam Sebagai Jalan Penyelesaian

Sambungan dari kuliah perkaderan yang dipetik dari Kitab Risalah Pergerakan Ikhwanul Muslimin. Bahagian ke 2 dalam tajuk DAKWAH IKHWANUL MUSLIMIN, DAKWAH ABAD EMPAT BELAS HIJRIYAH.

Oleh kerana itu, (wahai pemuda) perbaharuilah iman, kemudian tentukan sasaran dan tujuan langkah anda. Sesungguhnya, kekuatan pertama adalah iman, buah dari iman ini adalah kesatuan, dan kesimpulan dari kesatuan adalah kemenangan yang gilang gemilang. Oleh kerananya, berimanlah anda, eratkanlah ukhuwah, sedarilah, dan kemudian tunggulah (setelah itu) datangnya kemenangan.

"Berikan khabar gembira kepada orang-orang yang beriman.: Dunia ini sedang dalam keadaan gundah gulana. Semua sistem yang ada telah gagal melakukan pembaikan. Sesungguhnya, tidak ada jalan keluar dari permasalahan itu kecuali Islam. Oleh kerananya, maralah kehadapan dengan asma Allah untuk menyelamatkannya. Semua orang sedang menunggu datangnya seorang penyelamat, dan penyelamat itu tiada lain kecuali risalah Islamiyah, di mana kalian yang membawa lenteranya dan memberikan khabar gembira kepada manusia tentang kewujudannya.

Wahai pemuda !
Sesungguhnya, manhaj Ikhwanul Muslimin itu telah jelas dari segi tahapnya dan langkah-langkahnya. Anda sebenarnya mengetahui apa yang kami inginkan dan kami amat memahami apa saja prasarana yang gunakan untuk mewujudkan kemahuan itu. Pertama-tama, kami menginginkan seorang yang muslim dalam pola pemikiran dan akidahnya, dalam moraliti dan perasaannya, serta dalam amal dan perilakunya. Ini merupakan salah satu keupayaan pembentukkan individu mukmin dalam dakwah kami. Setelah itu, kami menginginkan terbangunnya rumah tangga yang Islami juga dalam pola pemikiran dan akidahnya, dalam moraliti dan perasaannya, serta dalam amal dan perilakunya. Untuk itu, kami juga memperhatikan kaum wanita sebagaimana perhatian kami kepada kaum pemuda. Kami juga memperhatikan anak-anak sebagaimana perhatian kami kepada pemuda.

Setelah itu, kami juga menginginkan bangsa yang muslim. Untuk itulah, kami berusaha agar dakwah kami sampai ke setiap pelusuk, suara kami dapat didengari di setiap tempat, fikrah kami dapat difahami dengan mudah, serta dapat menerjah ke seluruh penjuru desa, kota, dan pusat-pusat kegiatan. Untuk itu, kami tidak akan menyia-nyiakan potensi dan prasarana yang ada. Setelah itu, kami menginginkan sebuah pemerintahan Islam yang dapat memimpin bangsa menuju masjid dan membimbing manusia kepada hidayah Islam, sebagaimana pemerintahan Islam sebelumnya yang telah berhasil membawa mereka ke jalan itu dengan bimbingan para sahabat Rasul, seperti Abu Bakar dan Umar ra.

KEPENTINGAN TARBIYYAH

Aqidah yang sejahtera (aqidatun salim) : Kefahaman aqidah islamiyyah yang jelas hendaklah dipasakkan dengan utuh dan jitu seumpama akar pokok yang menjalar jauh ke dalam tanah. Bukan sekadar meneliti tauhid-tauhidnya sahaja, bahkan aqidah perjuangan dipraktikalitikan dalam tindakan mereka.
Ibadah yang sahih (ibadah soheh) : Dalam pada itu, kehidupan mereka terangkum dalam ibadah yang natural dan bersih daripada sebarang unsur bid’ah. Melaksanakan ibadah berpandukan ilmu yang dipelajari. Seluruh ibadah dilaksanakan tanpa memilih-milih sama ada yang sunat mahupun wajib.

Akhlak yang mantap
: Seorang ahli gerakan adalah seorang daie yang menjadi contoh terbaik orang disekeliling. Mana mungkin seorang ahli gerakan mengucapkan kata-kata nista dan umpat tanpa sebarang sebab. Mereka juga menjaga adab-adab dalam berjemaah disamping melestarikan ukhwah islamiyyah.

Mampu bekerja : Yang dimaksudkan ini adalah bijak dan berkapasiti pengorbanan yang tinggi dalam menyelesaikan amanah dan tanggungjawab.

Berpengetahuan luas (ilmun wasi’) : Pra-syarat inilah yang semakin dilupakan oleh sekelian ahli gerakan. Dek mengejar tanggungjawab dan amanah yang diberikan sehingga terlupa mengisi ilmu di dada. Silibus-silibus pengkaderan haruslah disemak dan dianalisis semula agar ia benar-benar ilmiah dan semasa. Majalah, surat khabar serta internet perlu diakses dan sensitif agar tidak kosong dadanya daripada ilmu pengetahuan semasa.

Tubuh yang cergas : Ini tidak dapat dinafikan lagi. Kesihatan tubuh perlu dijaga. Kebanyakan ahli gerakan kadangkala mempunyai tabiat makan yang tidak menentu. Walaubagaimanapun, perancangan makan juga perlu disusun untuk melahirkan ahli yang sihat tubuh badannya.

Menguasai diri (mujahadutnnafs) : Ahli gerakan tidak boleh mendabik dada merasakan mereka sudah banyak melakukan kebaikan dek gerak kerja mereka. Kita sedia maklum, ahli gerakan perlu turun ke medan-medan dakwah bersama-sama dengan masyarakat yang pelbagai. Justeru itu, kekuatan jiwa daripada pengaruh yang menggugat harus dipertingkatkan. Di samping amalan-amalan rohani serta solat fardhu yang menjadi pertolongan.

Teratur urusannya (munazzamah) : Kebatilan yang terancang pasti jua akan menang seandainya kebenaran itu tidak tersusun dan berstrategi. Setiap ahli gerakan perlu berusaha mewujudkan planner harian untuk menyusun gerak kerja harian serta tidak mudah lupa dalam menjalankan amanah.

Sangat menghargai masa : Sudah menjadi kelaziman, ahli gerakan sewajarnya menjadikan masa sebagai aspek terpenting dalam hidup. Setiap yang berlalu tidak harus dipersiakan begitu sahaja. Sentiasa merasakan resah seandainya setiap saat yang bergerak tidak melakukan kerja-kerja Islam.

Bermanfaat kepada orang lain : Aspek inilah yang mahu dilahirkan daripada setiap gerakan Islam. Kehadiran ahli gerakan di mana-mana sahaja sentiasa dirasai dan ketiadaannya sentiasa ditunggu-tunggu. Bukan kerana glamournya, tetapi kerana rembesan tarbiyah dirinya cukup menjadikan orang sekelilingnya merasa tenang bersamanya.

Kita sedar akan realiti. Gerakan tidak mampu melahirkan ahli sesempurna itu. Namun, suatu sistem atau strategi harus dikemaskini kembali supaya matlamat adalah mengarah kepada kualiti ahli yang disebutkan di atas. Barulah gerakan Islam mampu ’menggegarkan’ musuh-musuh yang selama ini memandang enteng dan sebelah mata.